Bila aku renung kembali persiapan untuk menyambut pihak MQA, buat aku tersentak dengan persiapan aku untuk menghadapi hari kematian, hari kebangkitan juga hari akhirat. Janji Allah adalah sangat benar dan kita sentiasa diingatkan oleh Al-Quran. Bila kita membaca Al-Quran, semua persoalan kita akan terjawab. Apa lagi nikmat Allah yang hendak kita dustakan. Allah Maha Mendengar, Maha Pengampun, Maha Pengasih. Maha segalanya. Cukupkah bekalan yang hendak dipersembahkan? Kehidupan dunia adalah sesuatu yang akan berakhir. Kebaikan yang dibina di dalam kehidupan di dunia sahajalah akan mendatangkan faedah selepas mati. Antaranya adalah sedekah jariah.
Allah Taala menyukai bantuan kepada orang yang bermusibah. Allah Taala tidak mengasihi orang yang tidak berbelas kasihan terhadap manusia. Sesiapa yang menjauhkan musibah seseorang Islam, Allah Taala akan menjauhkan musibahnya pada hari kiamat. Sesiapa yang memberi kemudahan kepada seseorang Islam di dalam keadaannya yang susah, maka Allah Taala akan memberi kemudahan baginya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menyembunyikan keaiban seseorang Islam, maka Allah Taala akan menyembunyikan keaibannya di dunia juga di akhirat kelak. Dan lagi, sesiapa yang menunaikan hajat seseorang saudaranya yang Islam, pahalanya seolah-olah dia beribadat kepada Allah seumur hidupnya. Semuanya haruslah ikhlas dan mengharapkan redha Allah Taala semata. Itu semua janji Allah Taala yang pasti dan ada dinyatakan di dalam beberapa hadis sohih. (Rujukan : Kitab Fadhilat Sedekah)
Kadang-kadang kita suka persoalkan tentang nikmat yang ada pada orang lain. Adakah kita bersyukur dengan apa yang kita ada? Allah beri nikmat kepada seseorang mengikut kesesuaiannya dan semua nikmat adalah ujian. Nikmat sihat, nikmat dapat merasai makanan - pedas, masin, masam, pahit, nikmat melihat, nikmat bernafas. Semua itu nikmat. Nikmat bukan hanya dalam bentuk kebendaan saja. Syukurilah apa yang ada pada kita walaupun mungkin kita tidak suka tetapi ianya adalah baik untuk kita. Kerana apa? Kerana Allah sangat mengetahui apa yang baik buat semua hambaNya. Oleh itu, jangan berkeluh kesah. Allah sentiasa ada untuk mendengar. "Aku tidak pandai berdoa Ya Allah tetapi aku mohon doa yang sama seperti Rasulullah buat umatnya".
Moral : Yakinlah dengan janji Allah Taala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan