Isnin, 25 Januari 2010

Kisah Benar..

Rasulullah Dengan Sebiji Limau

Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan “Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya.” Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya di’tewas’ kan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.


Kisah Isteri/Ibu

Saban malam, seorang ibu dari keturunan Bani Israel berendam air mata.Hatinya dibalut rasa pilu setiap kali menatap anaknya yang menderita diserang sakit misteri. Selain berdoa siang dan malam, si ibu berusaha mengubati anaknya itu. Namun tiada tanda penyakitnya akan sembuh,sebaliknya bertambah teruk.Suatu malam, selepas memberikan anaknya ubat, dengan linangan air mata,si ibu berdoa ke hadrat Allah, sekaligus bernazar jika penyakit anaknya sembuh. Dengan kehendak Allah, tidak berapa lama kemudian, si anak yang sekian lama terlantar, perlahan-lahan sembuh. Selera makannya bertambah dan dalam waktu terdekat, dia kembali pulih. Sekali lagi dengan iringan air mata, si ibu tak henti-henti meluahkan rasa syukur kepada Allah. Sesungguhnya dia merasa cukup terharu selepas doanya dimakbulkan. Sambil tersenyum dia mengusap-usap rambut anak lelakinya itu dengan penuh kasih sayang. Lantaran terlampau gembira, ibu tadi lupa menunaikan nazar yang dilafaznya ketika berdoa. Hinggalah pada suatu malam, dia bermimpi dikunjungi seorang lelaki tua yang tidak dikenali. Lelaki itu berkata kepadanya dalam nada marah, “Hai perempuan! Tunaikanlah nazarmu agar kelak engkau tidak ditimpa musibah daripada Allah.”Sejurus kemudian lelaki tersebut lenyap dan si ibu tersentak daripada tidur. Beberapa kali dia beristighfar…sambil mengurut dadanya yang berdebar kencang. Digosok-gosok kelopak matanya, kemudian dia termenung memikirkan mimpi itu. Rasa takut sesekali menerjah-nerjah nalurinya.

Keesokan malamnya, si ibu memanggil anaknya. Lalu diceritakan perintah lelaki tua dalam mimpinya serta nazar yang belum ditunaikan. “Nazar apa?” tanya si anak. “Begini…semasa kamu sakit tempoh hari, mak bernazar sekiranya kau sembuh, mak berjanji untuk keluar dari dunia ini selama tujuh hari. Doa mak dimakbulkan tapi hingga ke hari ini nazarnya belum dapat ditunaikan,” jelas si ibu. “Apa yang mesti kita lakukan?” tanya si anak selepas agak lama termenung. “Apa lagi, galikan sebuah lubang kubur untuk mak!” perintah si ibu. “Gali kubur? Tapi…bukankah kubur hanya untuk orang mati?” soal si anak penuh kehairanan. “Dah, jangan banyak tanya. Gali kubur, kemudian timbuskan mak. Selepas tujuh hari, kau galilah semula. Insya’allah mak akan selamat,” ujar si ibu selamba.Dalam keadaan terpinga-pinga, si anak akur dengan perintah ibunya. Lalu dia segera mengambil cangkul, melakukan apa yang disuruh. Setelah selesai, si anak membaringkan tubuh ibunya dalam liang lahad. Dengan linangan airmata, wanita itu menadah tangan lalu berdoa: “Ya Allah, Engkau telah memenuhi permintaan dan doaku. Sekarang aku akan tunaikan nazarku. Peliharalah aku dari kebinasaan alam kubur ini, ya Allah dan selamatkanlah anakku.” Dalam keadaan serba salah, si anak meletakkan papan keranda dan menyodok tanah untuk menimbus lubang kubur itu. Dia kemudian berjalan pulang sambil air matanya tak henti-henti mengalir. “Mungkin ibuku sedang meronta-ronta kelemasan sebelum menghembuskan nafas terakhir,” bisik si anak mengenangkan nasib ibunya.

Si anak mengira hari dan dirasakannya waktu terlalu lambat bergerak. Namun sesaat pun si anak tidak lupa memohon agar Allah sentiasa memelihara ibunya. Di dalam kuburnya, si ibu merasakan lubang kuburnya semakin hari semakin luas. Beberapa ketika kemudian, dia terpandang imbasan cahaya di sebelah kanan kepalanya. Lalu dia menoleh, di dapati suatu lubang kecil di sebelahnya yang amat terang. Apabila diintai ternampaklah sebuah taman yang penuh dengan bunga-bungaan yang amat indah. Belum pernah dia melihat taman seindah itu seumur hidupnya. Si ibu tambah tersentak apabila ternampak dua wanita sedang duduk di tepi sebuah kolam yang jernih airnya. Seorang berwajah sugul sementara yang seorang lagi begitu ceria. Menyedari kehadirannya, wanita berwajah ceria bersuara: “Wahai perempuan, silakan masuk dan duduklah bersama kami,” pelawanya penuh sopan. Sejurus itu lubang kecil di kubur si ibu perlahan-lahan membesar sehingga memudahkannya berjalan masuk ke taman tersebut. Dihampirinya kedua-dua wanita itu.. Tiba-tiba muncul seekor burung, lalu melebarkan sayapnya ke atas kepala wanita ceria itu. Tidak berapa lama kemudian, muncul seekor lagi datang mematuk-matuk kepala wanita berwajah muram itu. Kejadian itu memeranjatkan si ibu. Dia bertanya kepada perempuan yang dipayungi burung itu. “Bagaimana kamu memperolehi kemuliaan ini?” tanyanya lagi. “Semasa di dunia, aku mentaati suamiku. Semasa aku kembali menemui Tuhan, dia redha kepadaku. Dia sentiasa mendoakan kesejahteraanku sehingga kini. Maka Allah muliakan aku seperti mana yang kamu lihat..

Setelah itu si ibu tadi bertanya kepada wanita yang melolong-lolong setiap kali burung mematuk kepalanya. “Semasa di dunia,” jawabnya tersekat-sekat, “aku perempuan solehah. Tidak pernah aku melanggar perintah Allah, tetapi aku seringkali derhaka kepada suamiku. Apabila aku meninggal, dia berada dalam keadaan tidak redha kepadaku…maka itulah Allah jadikan kuburku ini tempat penyeksaan. Jika kamu kembali ke dunia nanti, ceritakan kepada suamiku, yang aku memohon ampun dan maaf.” “Insya’Allah,” jawab si ibu tadi perlahan, menahan hiba. Tujuh hari kemudian, tinggal bersama-sama dua orang wanita tersebut, si ibu masuk semula ke kuburnya. Sedar-sedar anak lelakinya sudah berada di sisinya. Kedua-dua anak-beranak itu berpelukan dengan air mata berjejeran kerana tidak menyangka dapat berjumpa semula. Sebaik si anak membawa ibunya pulang, hebohlah ke seluruh kampung, ibunya kembali semula selepas seminggu dikebumikan. Berduyun-duyunlah orang menziarahi perempuan tersebut, bertanyakan pengalamannya selama tujuh hari berada dalam kubur. Di antara yang hadir itu termasuklah suami perempuan kedua yang ditemui si ibu tadi semasa di alam kubur. Sebaik mendengar pengalamannya,lelaki itu pun bersuara. “Dia arwah isteri saya,” kata lelaki itu sayu. “ Malang sekali, sekarang dia sedang diseksa kerana derhaka kepada kamu. Ampunilah dia agar arwah dapat ketenangan di sana ,” jelas si ibu itu.“Baiklah…aku ampunkan segala dosanya terhadapku dan aku redha dengan pemergiannya,”sambung lelaki itu lagi. Aneh, malam itu, si ibu bermimpi didatangi perempuan yang dipatuk burung itu. “Bagaimana keadaan kamu sekarang?” tanya si ibu itu.“Alhamdulillah, aku selamat daripada seksaan kerana pertolonganmu menyampaikan pesanan agar suamiku memaafkan dosaku. Semoga Allah membalas kebaikanmu dan mengampunkan engkau,” ujar wanita itu terharu. Si ibu terjaga lantas beristighfar beberapa kali.(Dipetik dari kitab karangan Imam Al-Ghazali

Sabda Rasulullah S.A.W:“Aku melihat dalam neraka tiba-tiba ramai di antara ahlinya adalah wanita.”Maka seorang wanita bertanya: “Mengapa ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Mereka banyak bersumpah dan tidak berterima kasih kepada suaminya.”


WALLAHUALAM

Tiada ulasan:

2019 dah?

Assalamu'alaikum semua!! dah 2019  dah raya pun kita satu entri pun tak da jem teruk idea aku  😂 entri terakhir pasal...